"Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan;
aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan;
aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil;
dan aku berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Thursday, July 2, 2015

Tips Melahirkan Anak Huffaz Dari Website The Vocket

**saya pindahkan & tapis catatan the vocket untuk bacaan saya sendiri dan susun mengikut bahagian penceritaan (ada 6 bahagian). Dan untuk memudahkan pembacaan suami saya.



Dan di bawah dikongsikan tips pertama dalam membesarkan anak-anak:
TIPS 1: ‘Pembentukan Karakter Anak-Anak’
Pendidikan anak-anak terlalu penting. Pembentukan peribadi anak-anak bermula dari rumah. Apa yang dilihat itulah yang dicontohi. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebung. Saya sangat bersetuju dengan hakikat ini sebab apa yang dilalui oleh anak-anak di awal kehidupannya banyak mencorakkan karakter dan tingkah laku mereka di masa akan datang, terutamanya ketika mereka diberikan hak eksklusif untuk menentukan hala tuju hidup mereka sendiri. Ketika itu, ibubapa hanya akan menjadi pembimbing dan penasihat dan bukan pembuat keputusan untuk mereka.
Di sini saya ingin memulakan siri perkongsian pendidikan anak-anak dengan mengenengahkan teori pertama, yakni ‘Layanan Sama Rata’ terhadap anak-anak.
Saya melihat adalah amat penting anak-anak sejak dari kecil diberikan layanan sama rata baik dari sudut kasih sayang, makan pakai, perhatian, pemberian hadiah dan lain-lain.
Saya sendiri mengamalkan pembentukan karakter anak-anak dari sudut kesamarataan baju yang dibeli dan dipakaikan pada anak-anak sejak kecil. Sama rata tidak lah bermaksud exactly the same… but more or less the same. Dengan kata lain, serupa tapi tak sama. Lihatlah anak-anak saya bergembira dengan baju sedondon mereka baik di hari lebaran, maupun ketika santai, tatkala bercuti, atau di taman, tidak ketinggalan juga ketika di pantai. Tujuannya adalah agar anak-anak merasakan bahawa mereka mendapat perhatian dan layanan yang adil dan saksama dari ibu bapa mereka di mana kesannya akan menerbitkan perasaan kasih sayang di antara adik beradik.
“Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah. Kedua ibu bapanyalah yang menjadikan mereka Yahudi, Nasrani maupun Majusi.” (HR Bukhari dan Muslim)
 TIPS 2: Asuhan Ibu Lebih Barakah
Assalamu’alaikum wbt
1. Perkataan SAHM, acronym bagi ‘Stay-At-Home-Mother’, adalah golongan wanita yang memilih untuk tidak keluar bekerjaya sebaliknya berkorban untuk memberikan sepenuh perhatian kepada keluarga dan rumahtangga. Begitu juga WAHM atau ‘Working-At-Home-Mother’ yang merupakan kategori wanita yang tidak kurang hebat yang memilih untuk bekerjaya dari rumah dengan hasrat dapat menjaga dan mendidik anak secara total.
2. Saya termasuk dalam kategori wanita yang menjadi SAHM pada awalnya ketika anak-anak masih kecil. Saya telah dianugerahkan oleh Allah swt dengan kehadiran anak-anak selang setahun untuk 3 anak yang pertama dan selang 3 tahun dan 2 tahun untuk anak-anak yang berikutnya.
3. Cabaran memiliki 5 anak kesemuanya lelaki dengan jarak usia yang rapat serta aktif, ditambah dengan kesukaran untuk mendapat pembantu rumah menambah tekad saya untuk mengasuh sendiri anak-anak.
4. Satu fakta yang harus diterima ialah wanita-wanita SAHM / WAHM sebahagian besarnya bukan sebarangan orang tetapi golongan pintar yang berpendidikan tinggi yang rela untuk tidak berada di mercu kerjaya dalam bidang profesional dengan pangkat dan gaji yang tinggi di bilik berhawa dingin milik syarikat-syarikat korporat dan multinasional. Mereka adalah khalayak yang merasakan sumbangan mereka dalam pembangunan keluarga adalah lebih penting daripada kepuasan kerjaya sendiri.
5. Saya mempraktikkan ‘Maslow Hierarchy of Need’s Theory’ yang menekankan susun lapis kepuasan diri ke peringkat maksima.
“Maslow describes the Need’s Theory as the desire to become more and more what one is, to become everything that one is capable of becoming. For example one individual may have the strong desire to become an ideal parent….”
6. Pada pendapat saya, tiada kompromi, seorang ibu perlu berada di rumah untuk memberi tumpuan pada anak-anak semasa mereka masih kecil dan memerlukan perhatian, belaian kasih sayang dan pendidikan sepenuhnya. Cukuplah ayah sahaja yang keluar untuk mencari rezeki dan fokus pada kerjaya
7. Saya amat yakin ibu memainkan peranan penting dalam memastikan penyediaan makanan anak-anak dimasak dengan penuh ikhlas, penuh kasih sayang, disertai doa dan menyuapkan makanan ke mulut anak-anak dengan tangan ibu sendiri. Ibu juga harus menjadi orang pertama yang akan mendengar cerita, kesedihan dan pengalaman-pengalaman mereka. Sekiranya ibu-ibu bekerjaya contohnya sempat memasak dahulu sebelum keluar ke pejabat, tetapi suapan ke mulut anak-anak terpaksa dilakukan oleh pengasuh atau bibik, ini pada saya masih gagal menepati kriteria ibu menyediakan makan minum untuk anak-anak.
8. Rahsia bonding ibu dengan anak-anak berasaskan didikan, kasih sayang, perhatian dan doa yang tercipta sejak kecil akan menjadi begitu utuh dan dapat mengikat hati anak-anak sehinggakan dalam bab mencari calon isteri pun akan dipastikan mendapat restu ibu.
9. Masyarakat seharusnya memberi sokongan padu kepada golongan wanita seperti ini kerana apa yang mereka korbankan itu insyaAllah adalah sepadan dengan hasil yang bakal mereka perolehi.
10. Tinjauan rambang mendapati kebanyakan anak-anak yang runtuh akhlaknya adalah daripada latar belakang ibu bapa yang sibuk dan tiada masa terhadap anak-anak. Tugas pendidikan akademik dan sahsiah diserahkan sepenuhya kepada guru di sekolah. Urusan makan pakai anak-anak diambil alih oleh bibik sementara masa senggang mereka diisi dengan aktiviti-aktiviti yang tiada nilai tambah.
11. Anak-anak di bawah asuhan ibu-ibu suri rumah atau ibu-ibu bekerjaya dari rumah akan mendapat pantauan secara langsung dan rapi. Tambahan lagi dengan ibu yang terpelajar dapat menyalurkan ilmu kepada anak-anak bertambah barakah lagi kehidupan sekeluarga. Pastinya ibu yang mengajar sendiri anak-anak mereka akan memastikan anak itu berjaya. Saya sendiri sanggup belajar kembali subjek-subjek yang pernah dipelajari di sekolah 20-30 tahun dahulu seperti Matematik Tambahan, Sains atau Sejarah hanya semata-mata untuk mengajar anak sendiri.
12. Tiada balasan yang diharapkan selain doa daripada anak yang soleh dan solehah agar menjadi bekal ibu bapa di barzakh nanti. Semoga anak yang lahir dari didikan sempurna ibubapa mampu berdoa…
“Ya Allah, sampaikanlah pahala bacaanku kepada roh kedua ibubapaku. Ya Allah, ampunilah dosanya, kasihani dan selamatkanlah dia dan maafkanlah kesalahannya, muliakanlah kedatangannya, lapangkanlah kuburnya, terimalah kebaikannya, hapuskanlah kesalahannya dengan rahmatMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengasih”.

TIPS 3: Abang Long ‘the Trendsetter’
Assalamu’alaikum wbt
1. Perkongsian saya dalam penulisan bersiri ini adalah terbit daripadaexperiment yang telah saya lakukan terhadap anak-anak sendiri dalam perancangan menjadikan mereka sebagai Profesional Huffaz (PROFAZZ). Setelah saya yakin akan keberhasilannya, barulah saya bersedia untuk menjadikannya sebagai panduan kepada mereka yang berminat untuk mengetahui kaedah yang telah saya gunapakai.
2. Untuk siri kali ini, saya ingin menyentuh tentang peranan yang dimainkan oleh anak sulung dalam sesebuah keluarga. Saya juga ingin tunjukkan betapa pentingnya ibubapa memastikan perancangan rapi dilakukan sejak dari anak pertama lagi. Abang Long adalah panggilan yang lazim kita dengar untuk anak pertama. Tetapi di sebalik panggilan yang mengingatkan kita tentang kedudukan Abang Long di dalam susunan keluarga, anak sulung sebenarnya memainkan peranan yang dapat membantu mencorakkan kehidupan adik-adik di bawahnya.
3. Pertamanya ialah Abang Long bertindak sebagai ‘the Role Model’ yang akan menjadi benchmark kepada adik-adik. Apabila anak sulung berjaya dari segi akademik dan akhlak, kecenderungannya adalah adik-adik akan turut mengikuti jejak mereka untuk sama-sama berjaya. Nasihat dan bimbingan Abang Long kepada adik-adik akan menitipkan inspirasi dari sudut yang berbeza jika dibandingkan dengan ibubapa sendiri. Ia seakan memacu adik-adik ke satu destinasi yang lebih meyakinkan dengan hasil yang terbentang luas di depan mata.
4. Di sini saya coretkan sedikit pengalaman sendiri dalam rangka merencana kejayaan akademik dan keperibadian anak-anak. Ia bermula daripada anak sulung di mana saya perhatikan hasrat untuk sentiasa mendapat keputusan cemerlang telah ada dalam diri beliau sejak dari sekolah rendah lagi. Abang Long akan sentiasa memastikan persediaan rapi dibuat sebelum peperiksaan, alatan menulis lengkap di hari peperiksaan, tangan ibu dicium sebelum keluar rumah dan membaca doa sebelum membuka kertas peperiksaan.
5. Apabila keputusan peperiksaan keluar, Abang Long akan mengingatkan dan memastikan saya pergi ke sekolah untuk mendengar sendiri dari guru-guru kelas tentang prestasi pelajaran beliau dan adik-adik serta aktiviti lain di sekolah.
6. Tatkala Abang Long bertegas hendak memasuki Maahad Tahfiz sepenuh masa selepas PMR, saya pada mulanya agak gusar takut-takut dia terkandas dalam pelajaran atau lambat hendak mengejar balik bidang akademik. Tetapi Abang Long memujuk kami untuk merestui hajatnya kerana khuatir akan menjadi terlalu lewat bagi dirinya melengkapkan diri sebagai seorang huffaz. Jadi saya membuat permohonan kepada pihak sekolah untuk menangguhkan sementara pembelajaran akademiknya bagi memberi tumpuan 100% kepada hafazan al-Quran. Ketika itu usia Abang Long sudah 16 tahun. Sebaik sahaja tamat menghafaz 30 juz al-Quran Abang Long kembali semula meneruskan pembelajaran di sekolah biasa.

7. Abang Long menjadi ‘the Trendsetter’ dan keputusan serta tindak tanduk beliau telah berjaya diikuti oleh adik-adiknya di mana seorang demi seorang mengikuti jejak langkah Abang Long mereka dengan menjadi huffaz selepas PMR ketika berusia 16 tahun. Alhamdulillah syukur tidak terhingga saya dengan hasil yang diperolehi terbit daripada ketegasan Abang Long tadi.
8. Program hafazan yang disediakan di Maahad Tahfiz adalah selama 2 tahun, tetapi memandangkan anak-anak saya berjaya menghabiskan hafazan lebih awal, mereka dapat mengulangi hafazan tersebut beberapa kali untuk lebih mantap. Abang Long berjaya menjadi huffaz dalam masa 10 bulan, adik-adiknya ada yang 5 bulan, 8 bulan dan setahun lebih.
9. Yang menariknya mereka hafaz al-Quran beserta dengan terjemahan sekali. Saya dapati keberkesanan dalam hafazan berserta pengertian mendalam ayat-ayat al-Quran sangat bermanfaat kerana mereka dapat aplikasikan di dalam kehidupan seharian dan menjadi hujah kepada banyak isu dan permasalahan yang melanda.
10. 2 tahun berada di Maahad Tahfiz, ini bermakna Abang Long dan adik-adiknya akan turun batch 2 tahun berbanding rakan-rakan sebaya mereka. Tetapi syukur ke hadrat Illahi, memandangkan Abang Long dan adik-adiknya dapat menghabiskan hafazan mereka lebih awal, saya telah menyerapkan mereka semula ke sekolah biasa untuk menduduki Tingkatan 4 di pertengahan tahun dan dapat mengejar balik sesi pembelajaran yang telah mereka tinggalkan. Dengan kata lain, saya cuba memastikan Abang Long dan adik-adiknya turun batch hanya satu tahun saja.
11. Sesungguhnya Allah Maha Agung. Apabila seseorang anak itu mengalir dalam darahnya al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, Allah memudahkan segala urusan. Dalam keadaan kawan-kawan mereka yang lain telah menghabiskan setengah tahun silibus persekolahan, Abang Long dan adik-adiknya dapat mengejar balik pelajaran yang tertinggal sekian lama dan memperolehi keputusan cemerlang di hujung tahun. Saya kira otak mereka sudah menjadi seperti sponge yang meresap segala bentuk ilmu dengan mudah sekali. Pada tahun berikutnya di Tingkatan 5 kesemua mereka mendapat kejayaan gilang gemilang  dalam peperiksaan SPM dengan mendapat straight A’s.
12. Sebaik sahaja tamat tingkatan 5 dan sementara menunggu keputusan peperiksaan SPM, Abang Long menyatakan hasrat untuk mendalami bahasa Arab di negara Arab. Kami mulanya mencadangkan beliau belajar di Kelantan sahaja memandangkan kos tidak berapa tinggi, tetapi Abang Long kata 5 hingga 6 bulan tidak mencukupi kalau hendak memantapkan Bahasa Arab di Malaysia kecuali pergi ke negara yang bahasa ibundanya Bahasa Arab. Jadi, berangkatlah Abang Long ke Sana’a, Yemen mengikuti kelas Bahasa Arab di Universiti Iman dan sekembalinya beliau ke Malaysia 6 bulan kemudian, lancar sungguh Bahasa Arabnya.
13. Seperti diduga langkah Abang Long sebagai ‘the Trendsetter’ telah diikuti oleh adik-adik yang lain. Kesemua mereka berangkat ke Sana’a, Yemen sebaik habis Tingkatan 5 dan belajar Bahasa Arab di sana dalam lingkungan 5-6 bulan sehingga keluar keputusan peperiksaan SPM. Bersyukur sungguh bila saya dengar mereka berbahasa Arab dengan faseh serta dapat berkomunikasi dengan orang Arab di sana. Sekembalinya mereka ke Malaysia, mereka memilih bidang-bidang yang menjadi pilihan sendiri seperti undang-undang, perubatan, perakaunan dll. Yang penting mereka ingin menjadi Professional Muslim yang boleh berbahasa Arab dan di masa yang sama seorang huffaz, Alhamdulillah. Dan yang menggembirakan walaupun Abang Long dan adik-adiknya turun batch 1 tahun, mereka masih lagi berjaya menerima biasiswa daripada JPA dan MARA untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, tidak seperti yang dikhuatiri oleh segelintir ibubapa lain.
14. Di samping pencapaian akademik yang selalu ditekankan oleh ibubapa, saya ingin ulangi sekali lagi tentang peri pentingnya kita lengkapkan pembelajaran Bahasa Arab dan hafazan berserta terjemahan kepada anak-anak yang akan menjadi bekal mereka sepanjang hayat. Anak-anak yang ada al-Quran di dalam diri mereka akan sentiasa terpelihara daripada melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan syariat. Apabila sampai masa untuk mereka menjadi pekerja dalam pelbagai bidang, mereka akan bekerja dengan ikhlas, amanah dan penuh tanggungjawab. Kalau boleh kita hendak semarakkan minat menghafaz al-Quran ke seberapa ramai anak-anak agar dapat menghasilkan seramai mungkin Professional Huffaz di Malaysia.
15. Saya harap perkongsian kali ini dapat menjadi inspirasi kepada ibubapa di luar sana untuk mengetahui betapa pentingnya kita merancang dengan sebaik mungkin perjalanan, pendidikan dan hala tuju kehidupan anak-anak sedari kecil agar mereka menjadi insan soleh wa musleh. Tiada jalan pintas dalam menghasilkan PROFAZZ dan ia juga tidak terhasil melalui ‘magic wand’ atau kaedah ‘Touch & Go’.
16. Anak adalah anugerah kurniaan Allah swt yang sungguh bernilai kepada kita. Jika kita tidak menjaganya dengan baik, apakah jawapan dan alasan yang akan kita persembahkan di hadapan Allah swt di akhirat kelak? Sebagai penutup kata, saya ingin memetik satu hadith yang berbunyi:
“Barangsiapa membuat sunnah yang baik di dalam Islam, maka baginya pahalanya dan pahala orang setelahnya yang mengamalkannya tanpa mengurangi sedikitpun daripada pahala-pahala mereka. Dan barangsiapa membuat sunnah yang buruk di dalam Islam, maka baginya dosanya dan dosa orang setelahnya yang mengamalkannya tanpa mengurangi sedikitpun daripada dosa-dosa mereka.” [HR. Muslim]

TIPS 4: Anak ‘Melayu’ di Bumi Orang
Assalamu’alaikum wbt
1. Sebaik-baik pembentukan peribadi anak-anak adalah pembentukan yang diacu mengikut adunan agama. Dalam proses mendidik anak-anak, ibubapa harus selalu berlembut dalam semua perkara kecuali hal-hal yang membabitkan aqidah dan akhlaq. Seringkali ibubapa cuba menutup sebelah mata jika perlakuan anak-anak agak keterlaluan atau sekali sekala menyebelahi mereka dek kerana belas ehsan atau kasih sayang berlebihan sehinggakan membuat anak-anak tidak cuba memperbaiki diri atau mengembangkan bakat dan potensi diri.
2. Realitinya ibubapa tidak sanggup melihat anak-anak mengalami kesulitan, walhal jika anak-anak tersebut berjaya mengharungi segala kepayahan, karakter mereka akan menjadi lebih kuat dan semangat mereka lebih tinggi.
3. Begitu juga halnya dalam usaha menjadikan anak-anak sebagai huffaz. Kadangkala ibubapalah yang sebenarnya tidak sampai hati untuk membiarkan anak-anak mereka dalam keadaan tekun menghafaz al-Quran sepanjang hari mulai dari terbit hingga terbenam matahari. Ibubapalah yang sebenarnya asyik membayangkan betapa anak-anak mereka akan melalui kehidupan yang begitu membosankan. Ibubapalah yang sebenarnya tidak tergamak untuk melihat anak-anak mereka tidak sempat bermain PlayStation, ber’ipad’ber’whatsapp’dan menonton ‘movie’ kegemaran.
4. Hakikatnya ketenangan dan kesyahduan yang dirasai anak-anak ketika muraja’ah dan mentasmik hafazan adalah satu nikmat yang tidak tergambar oleh kata-kata sehingga tidak sedar masa berlalu begitu pantas.
5. Dalam penulisan kali ini, saya ingin berkongsi pengalaman ketika mendidik anak-anak di bumi orang. Pada pandangan saya walau di mana pun kita berada tiada istilah lepas tangan oleh ibubapa. Tanggungjawab mendidik anak tetap menjadi tugasan utama ibubapa sehinggalah anak-anak tersebut mencapai akil baligh, yakni dapat membezakan di antara yang haq dan yang batil.
6. Pengalaman saya bersama anak-anak semasa kecil mengikut ayah mereka ke U.K. untuk menyambung pengajian di peringkat PhD sedikit sebanyak menguji ketabahan seorang ibu dalam rangka menyemai benih Islam ke dalam sanubari anak-anak. Dengan ketiadaan banyak bahan bacaan berunsurkan Islam, kekurangan ustaz/ustazah yang boleh membantu mengajar tentang ad-Deen dan berleluasanya unsur-unsur jahiliyah di bumi asing adakalanya menyebabkan kita goyah dan cenderung untuk hanyut sama dalam persekitaran.
7. Ketika itu anak-anak saya seramai 3 orang berusia 3, 4 dan 5 tahun. Kami menetap di U.K. selama 3 tahun. Ini bermakna menjelang balik ke Malaysia, anak-anak saya akan menginjak ke usia 6, 7 dan 8 tahun. Dua lagi anak saya lahir di sana tetapi saya tidak terlalu bimbang kerana mereka masih lagi kecil. Saya cuba untuk tidak membiarkan anak-anak tanpa pendidikan asas solat dan mengaji al-Quran.

8. Saya sendiri mengajar mereka secara konsisten setiap hari agar mereka tahu tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Selagi mereka tidak menyudahkan bacaan beberapa halaman al-Quran setiap hari, selagi itulah mereka tidak dibenarkan untuk bermain atau membuat aktiviti lain. Selagi mereka tidak menyempurnakan ibadah solat dengan mengikut bacaan-bacaan yang saya ajarkan dengan jelas di tepi mereka, selagi itulah ‘rotan’ bergoyang di tangan.
9. Rotan perlu ada di rumah bukan digunakan untuk tujuan penderaan, tetapi sebagai simbolik untuk menyatakan bahawa kita sebagai ibubapa serius untuk mendidik mereka menjadi insan sempurna. Dengan lima orang anak lelaki yang aktif dan ‘degil’ mana mungkin saya dapat disiplinkan mereka jika tiada alat yang memudahcarakan proses tersebut. Kalau rotan ada dirumah dan disimpan di bilik stor sekalipun sudah memadai asalkan di setiap rumah harus ada menyimpan rotan sebagai alat mendidik dan anak-anak perlu tahu bahawa ada rotan di simpan di dalam rumah tersebut.
10. Rata-rata penuntut peringkat PhD di U.K. akan menetap selama 3-4 tahun di sana. Saya perhatikan kebanyakan para ibu yang menemani pasangan masing-masing akan membawa bekal buku-buku teks Bahasa Melayu, Matematik, Sains dll agar anak-anak mereka dapat membuat latihan supaya mudah mereka menyambung pelajaran sekembalinya ke Malaysia nanti. Saya mempunyai pendirian yang berbeza. Saya hanya membawa bekal buku-buku Iqra’ dan Muqaddam untuk mengajar anak-anak mengenal alif, ba, ta dan membaca al-Quran. Buku-buku lain tidak begitu diberi keutamaan kerana saya yakin masih boleh dipelajari kemudian.
11. Sistem pendidikan Barat yang sekular dan berorientasikan pembangunan kendiri tidak memungkinkan seseorang anak kecil dapat mengenal diri dan tuhannya. Pra-sekolah dan sekolah rendah di sana hanya menitikberatkan pembentukan mental dan kognitif dengan pelbagai simulasi yang bersandarkan upaya kanak-kanak dengan sedikit bimbingan dari guru. Hasilnya anak-anak begitu berminat untuk ke sekolah kerana mereka bebas membuat apa yang mereka suka dan sesi pembelajaran agak fleksibel. Ini termasuk tiada beg yang berat, tiada homework yang banyak, tiada drilling oleh guru yang terpaksa mencapai target prestasi yang ditetapkan oleh pihak sekolah dan pelajar mempunyai rutin harian yang berubah-ubah.
12. Di penulisan akan datang saya akan berkongsi pengalaman bagaimana anak-anak dapat terus tegar dalam landasan yang benar walau di mana mereka berada. Akhir kata, ingin saya kongsikan doa yang sering saya tiupkan ke wajah anak-anak agar hati mereka lembut:
للَّهُ لَطِيفٌ بِعِبَادِهِ يَرْزُقُ مَن يَشَاء وَهُوَ الْقَوِيُّ العَزِيزُ.
“Allah Maha Lembut kepada hamba-Nya; Dia memberi rezeki kepada sesiapa yang Dia kehendaki, dan Dialah Yang Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.”
(Asy-Syura 42: 19)
TIPS 5: NurJannah
Assalamu’alaikum wbt
1. Menjadi sunnah ke atas ibu bapa untuk meletakkan nama yang baik kepada anak-anak pada hari yang ke-7 selepas dilahirkan. Walau bagaimanapun, tidak menjadi kesalahan jika nama anak diletakkan pada hari pertama kelahiran atau selepas sebulan dilahirkan tetapi yang lebih afdhal adalah pada hari ke-7 selepas kelahiran.
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ غُلَامٍ رَهِينَةٌ بِعَقِيقَتِهِ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Setiap anak lelaki tergadaikan dengan aqiqahnya, disembelihkan untuknya pada hari ketujuhnya, dicukur rambutnya dan yusamma (diberi nama).” (Hadis Riwayat Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad)
2. Ibu bapa diamanahkan untuk meletakkan nama yang baik kepada anak-anak kerana nama merupakan DOA untuk mereka. Pemilihan nama yang baik akan mendatangkan kesan dan aura yang positif kepada anak-anak, manakala nama yang buruk akan mengakibatkan anak-anak menanggung malu, rasa rendah diri dan tertekan sepanjang hayat. Janganlah ibu bapa mengikut perasaan semasa memilih nama anak-anak, indah dan sedap didengar contohnya dengan menggabungkan nama mak dan ayah kononnya untuk ada nilai sentimental, mengubahsuai ejaan kononnya untuk ada nilai komersial dan tampak urban, epik dan terikut-ikut trend semasa tanpa mengetahui makna yang tersirat di sebalik nama tersebut. Ibu bapa perlu rujuk kepada alim ulama’ agar yakin pilihan nama anak-anak mereka membawa maksud yang baik.
3. Di sini saya ingin berkongsi pengalaman dalam membuat pemilihan nama untuk kelima-lima anak saya. Kesemua mereka mempunyai perkataan Muhammad di awal nama. Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Kamu sekalian pada hari kiamat akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu, maka hendaklah kamu memperelokkan nama kamu.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
4. Bermula dengan anak sulung, Aiman bermaksud ‘kanan’. Sejujurnya Aiman banyak menggunakan otak kanan dalam kehidupannya. Seorang kidal yang pakar menganalisa, gemar berkarya, bersajak, berpuisi, menulis lirik dan mempunyai jiwa yang halus dan sensitif namun bertanggungjawab.
Syamil bermaksud ‘sempurna’. Seorang yang sentiasa inginkan kesempurnaan hidup, keputusan yang cemerlang, rapi dalam berpakaian, teratur dalam susun atur bilik, terjadual perancangan hidup dan serba serbi inginkan kesempurnaan.
Irfan bermaksud ‘arif’. Banyak ilmunya. Tidak cukup ilmu dunia, ilmu akhirat juga sentiasa dicari dan dia tidak putus-putus menimba dan menyampaikan ilmu untuk maslahah ummah. Seorang yang tidak begitu mementingkan duniawi tetapi hidup untuk akhirat dan berazam berjumpa Allah swt dalam keadaan lunyai, insyaAllah.
Farhan bermaksud ‘riang ria’. Seorang yang mempunyai personaliti yang periang, menyenangkan dan jarang sekali membuatkan orang marah. Mudah untuk dijaga dan mudah untuk berurusan dalam banyak perkara. Malah semasa kecil, jika beliau demam atau tidak sihat jarang sekali merengek atau menangis. Sedar-sedar sudah meningkat remaja. Di mana pun beliau pergi orang akan selesa berdamping dengannya. Tagline hidupnya ‘Sweet, Simple, Sempoi’.
Suhayl bermaksud ‘mudah’. Memang mudah orangnya hinggakan baju pun pilih yang mudah, makan pun mudah, pelajaran pun nak yang mudah-mudah sahaja. Pernah satu ketika terlintas di fikiran mungkin saya tersilap pilih nama untuknya kerana melihat beliau terlalu ambil mudah pelajarannya sehingga saya merancang untuk memanggilnya dengan nama ‘Azim bermaksud agung atau besar. Tapi hajat tersebut tidak kesampaian kerana beliau akhirnya berjaya mencapai kejayaan dalam pelajaran dan hafazan sama seperti abang-abangnya.
5. Saya bersyukur dianugerahkan Allah swt dengan 5 anak lelaki yang hebat dan insyaAllah didoakan berjaya dunia akhirat, namun jauh di lubuk hati sebenarnya saya pernah mengimpikan ‘baby girl’ sejak dari anak pertama lagi. Saya berangan mempunyai anak perempuan yang semasa kecil boleh dipakaikan baju cantik-cantik, ditocangkan rambut, dibelikan aneka sepit dan cekak. Saya telah simpan nama NurJannah sejak daripada anak pertama lagi. Bila lahir anak ke-2 NurJannah tidak muncul juga. Begitu juga dengan kelahiran anak ke-3 yang juga baby boy. Nama NurJannah saya kuburkan dalam lipatan sejarah. Bersyukur di atas nikmat Allah swt dan redha dengan ketentuanNya, saya yakin ini adalah terbaik untuk saya. Pernah terfikir juga mungkin jika saya ada anak perempuan saya tidak berupaya mendidiknya dengan baik. Mungkin saya akan terlalu memanjakan dia, terlalu mewahkan dia, atau mungkin abang-abangnya akan pening kepala dengan kerenahnya, wallahua’lam.
6. Disebabkan cabaran dalam mendidik anak perempuan inilah, Rasulullah S.A.W pernah bersabda bahawa anak-anak perempuan perlu diberikan perhatian lebih kerana sifat mereka yang lemah lembut dan mudah terasa. Jiwa mereka yang halus ini sangat terdedah dengan pelbagai ancaman. Jika dididik dengan sempurna, insyaAllah akan diberikan ganjaran hebat daripada Allah S.W.T.
“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah, kesusahan dan kesenangan mereka, nescaya Allah S.W.T akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”
Seorang lelaki bertanya, “Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”
Sabda baginda, “Juga untuk dua anak perempuan.”
Seorang lelaki berkata, “Atau untuk seorang wahai Rasulullah?”
Rasulullah S.A.W menjawab, “Juga untuk seorang.”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)
7. Dalam menjaga anak perempuan, ibu bapa perlu tekankan soal maruah, soal harga diri, soal keselamatan, bab-bab mengenai fiqh wanita, halal dan haram, dan paling penting bab-bab berkaitan perlakuan dan juga aurat.
8. Dalam mendidik anak perempuan soal agama perlu lebih ditekankan kerana mereka kelak akan terdedah kepada banyak FITNAH meskipun mereka telah terdidik dengan didikan agama yang tinggi. Nafsu seorang perempuan tidak sama dengan seorang lelaki. Emosi mereka agak rapuh.
9. Tanggungjawab anak perempuan terhadap ibu bapa akan terlepas setelah berkahwin. Ini kerana, tanggungjawab mereka akan beralih kepada suami. Tetapi bagi anak lelaki, tanggungjawab untuk menjaga ibu bapa adalah sehingga akhir hayat mereka. Oleh itu anak perempuan harus lebih pandai menyesuaikan diri dengan persekitaran baru yang menuntut mereka untuk taat dan patuh pada suami.
10. Selepas diamati dan dibandingkan dengan pengalaman rakan-rakan dan saudara dalam membesarkan anak perempuan, saya merasakan bahawa menjaga anak perempuan sememangnya mencabar dan saya tabik hormat kepada ibu bapa yang berjaya mendidik anak-anak perempuan mereka dengan baik. Walau bagaimanapun penjagaan dan pengawasan ke atas anak perempuan masih lagi dalam kategori terkawal jika dibandingkan dengan anak lelaki.
11. Bukan mudah mendidik anak lelaki kerana mereka bakal menjadi pemimpin, ketua keluarga, anak, suami serta bapa. Mereka harus dididik untuk menjadi pelindung kepada wanita, bukan menzalimi wanita. Tersilap didikan akan menyebabkan anak lelaki terarah kepada penyalahgunaan dadah, rempit, lepak dan aktiviti negatif lainnya. Saya tidak katakan anak perempuan bebas daripada perlakuan negatif, tetapi anak lelaki lebih banyak terjebak dengan anasir-anasir yang tidak sihat seperti ini. Jika ketua sudah rosak macam mana hendak memimpin, walhal dalam soal memimpin lebih utama jika lelaki dipilih sebagai ketua.
12. Selaku ibu bapa kita harus menggembleng tenaga untuk mengembalikan ‘kejantanan’ anak lelaki sebagai wira yang mampu mengemudi bahtera dan memegang tampuk kepimpinan dengan adil. Hanya dengan ilmu di dada dan Al-Quran sebagai perisai insyaAllah dapat direalisasikan impian ini. Jom sama-sama kita pastikan sekolah kita, institut pengajian tinggi kita dan negara kita dipenuhi dengan rijal (anak-anak muda) yang boleh menjadi ikon kebanggaan negara. Rijal yang profesional tetapi penghafaz Al-Quran dan sentiasa memelihara solat.
TIPS 6: “It’s Never Too Late To Be A PROFAZZ”
Assalamu’alaikum wbt.
1. Dalam diari kehidupan seorang Muslim tidak seharusnya ada perkataan ‘KALAU’. Tidak juga harus ada perasaan menyesali takdir, menyalahkan Allah, menyalahkan orang lain hatta menyalahkan diri sendiri.
Daripada Abu Hurairah Radhiyallahu Ta’ala ‘anhu, bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alayhi wasallam bersabda:
“Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai Allah daripada mukmin yang lemah, dan masing-masing ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah dalam menuntut apa yang bermanfaat bagimu dan mohonlah pertolongan Allah (dalam segala urusanmu) serta janganlah sekali-kali kamu bersikap lemah. Apabila engkau ditimpa suatu kegagalan, janganlah engkau berkata: “Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini atau begitu. Akan tetapi katakanlah : “Qaddarallahu wamaa Syaa’a Fa’ala”. (Ini telah ditakdirkan oleh Allah dan Allah berbuat apa yang Dia kehendaki). Sesungguhnya ucapan “Seandainya” akan membuka (pintu) perbuatan Syaitan”. (Hadis Riwayat Muslim)
2. Begitu juga, di dalam setiap tindak tanduk dan perlakuan kita, jangan sesekali kita merasakan bahawa kita telah tiada peluang untuk memperbaiki diri dan keluarga walaupun awalnya kita telah tersilap langkah. Ditakdirkan di awal kehidupan kita tergolong dalam kategori alpa dan lalai, tidak semestikan tiada ruang dan peluang untuk kita berpatah balik, memperbetul keadaan dan menebus dosa. Allah tidak pernah menafikan hak kita untuk bertaubat dan mensucikan diri. Allah suka pada hambanya yang merayu dan meminta kepadaNya. Oleh itu jangan khuatir, lemah semangat dan berputus asa untuk sentiasa berdoa kepada Allah.
Allah S.W.T. berfirman: “…Dan jika engkau dekat pada-Ku sejengkal, maka Aku akan dekat padamu sehasta, dan jika engkau dekat pada-Ku sehasta, maka Aku akan dekat padamu sedepa, Dan jika engkau datang pada-Ku dengan berjalan, maka aku akan datang padamu dengan berlari kecil”.(Hadis Riwayat Bukhari)
3. Di dalam penulisan kali ini saya ingin memperlihatkan bahawa tiada istilah lewat dalam usaha untuk membentuk anak menjadi seorang Professional Huffaz atau PROFAZZ. Memang benar, ada di kalangan ibubapa yang telah merancang kehidupan anak-anak mereka semenjak dari kecil. Mereka menghantar anak-anak belajar tahfidz seawal 5-6 tahun untuk berguru dengan ustaz-ustaz di pondok. Kebanyakan yang mengambil pendekatan begini berhasrat anak-anak mereka menjadi ulama’ dan memperdalami ilmu agama. Mereka bangga anak-anak bakal bergelar ustaz atau ustazah. Kebaikan yang boleh diperolehi dari pendekatan sebegini ialah anak-anak tadi akan terdidik dalam lingkungan orang-orang soleh dan akan banyak mengisi masa di masjid-masjid dan terlibat dalam aktiviti keagamaan.
4. Di satu ekstrim pula, ibubapa yang mengutamakan pembelajaran di sekolah biasa inginkan anak-anak berjaya daripada segi akademik. Perancangannya adalah agar anak-anak mereka memperolehi kejayaan gilang gemilang di dalam pelajaran dan memasuki universiti atau kolej yang diminati. Rata-rata mereka akan memilih bidang yang popular seperti kejuruteraan, senibina, undang-undang, kedoktoran dll yang menjanjikan kerjaya yang terjamin. Apa yang penting ibubapa ghairah untuk anak-anak bersaing dalam dunia kerjaya dan korporat serta mendapat imbuhan gaji yang lumayan. Antara kebaikannya ialah masyarakat dapat menyediakan generasi pelapis yang akan membantu membangunkan negara daripada sudut ekonomi dan pentadbiran.
5. Pada pandangan saya, yang paling ideal ialah kita cuba menghasilkan sekelompok anak-anak muda yang dapat mengimbangi kedua ekstrim ini, yakni cemerlang dari segi akademiknya dan di masa yang sama seorang huffaz. Saya telah pun mencubanya dengan kaedah tersendiri yang Alhamdulillah berjaya memberikan hasil yang baik. Enggan mengambil risiko menyesal di kemudian hari, saya benar-benar merancang setiap percaturan hidup anak-anak dari segala sudut; sekolah mana yang dipilih, siapa kawan-kawan mereka, siapa guru mereka, dengan siapa mereka keluar dan apa aktiviti harian mereka. Ibubapa yang inginkan anak-anak menjadi produk terbaik harus menerima hakikat bahawa sesungguhnya tiada jalan pintas, tiada istilah sekadar ‘Quality Time’ bersama anak-anak, tiada unsur desakan dan paksaan. Semuanya berlaku secara sepenuh masa, terancang dan terkawal.
6. Kaedah yang saya gunapakai ialah pertamanya saya memilih untuk menghantar anak-anak belajar di sekolah beraliran agama supaya mereka terbiasa dengan biah yang soleh. Ibubapa perlu tanamkan semangat dan bangunkan jati diri yang kukuh di sanubari anak-anak supaya mereka tidak mudah dipengaruhi oleh rakan dan persekitaran. Sekolah pula memainkan peranan memperkukuh keperibadian anak-anak tadi untuk terus mantap dalam pendirian, mempunyai aqidah yang tepat dan arah hidup yang jelas. Sepanjang persekolahan sehingga ke usia 15 tahun, di samping mempelajari subjek-subjek akademik, anak-anak saya juga belajar kemahiran hidup, belajar ‘soft & hard skills’, bermasyarakat dan terlibat dalam aktiviti kejiranan dan masjid. Jadi bila mereka mulai menghafaz al-Quran di usia 16 tahun, mereka telah pun matang dan dapat aplikasikan pemahaman isi-isi al-Quran ke dalam kehidupan seharian.
7. Oleh sebab itulah penting anak-anak menghafaz al-Quran berserta terjemahan di kala usia yang tidak terlalu kecil. Kalau pun mereka telah menghafal semasa kecil, mereka harus cuba memahami maksud kandungan ayat-ayat al-Quran tersebut di kemudian hari. Hafazan boleh berbentuk kaedah melalui ‘long-term memory’, melalui hati atau sekadar di bibir. Perbezaan teknik hafazan ini dapat menentukan sama ada ia akan bersifat sementara atau kekal, dan sama ada ia sebati dalam diri pembawanya atau hanya bersifatsuperficial. Sebolehnya kita tidak mahu huffaz yang hanya pada nama sahaja sedangkan peribadi, akhlaq dan kehidupan sehariannya seperti orang biasa. Kita mahukan seramai mungkin huffaz profesional yang memahami tuntutan dari anugerah istimewa sebagai pembawa al-Quran. Pernyataan bahawa berdosa bagi seorang al-hafiz untuk lupa ayat-ayat yang pernah dihafalnya, sesungguhnya menyakinkan lagi alasan mengapa al-Quran harus sentiasa ada dalam diri.
8. Saya yakin ramai ibubapa di luar sana berkongsi aspirasi inginkan anak-anak mereka menjadi Profesional Huffaz. Tetapi di masa yang sama, ramai ibu-ibu yang terpaksa bekerjaya kerana tuntutan hidup. Keperluan untuk membantu suami menambah pendapatan keluarga adakalanya begitu meruncing sehingga tidak adil untuk membiarkan sang suami memikulnya seorang. Untuk ibu-ibu seperti ini, ‘La Tahzan’, janganlah bersedih kerana sekiranya telah terpasang niat untuk melihat anak-anak menjadi Huffaz, insyaAllah Allah S.W.T. akan lorongkan jalannya. Saya bersama rakan-rakan pengasas di Pusat Kecemerlangan Ummah (PACU) sentiasa berdiskusi mencari solusi bagaimana menyediakan alternatif kepada ibubapa yang berminat untuk menghantar anak-anak mengikuti sesi hafazan al-Quran tanpa perlu si ibu berhenti bekerja dan tanpa menggadai pembelajaran anak-anak di sekolah biasa.
9. Initiatif pertama yang telah kami laksanakan ialah Program Raudhatul Huffaz (RH). Raudhatul Huffaz adalah program 3 jam seminggu dalam kumpulan kecil 5-7 orang dengan bimbingan seorang tenaga pengajar yang akan menyemak hafazan juzuk 30 dan juz-juz lain di dalam al-Quran. Anak-anak akan diajar dan disemak secara ‘one-to-one’ kaedah yang betul untuk mengambil wudu’ dan amali yang lain. Amat menggusarkan apabila kami dapati ada anak-anak yang tidak tau mengucap syahadah. Dalam program ini terdapat juga hafazan 50 hadith, pembelajaran tajwid, fardhu ain dan slot mengenali tokoh-tokoh Islam yang terkenal, juga pendedahan tentang isu-isu umat Islam sejagat. Objektifnya adalah untuk menyubur dan menyemarakkan budaya menghafaz al-Quran di kalangan generasi muda serta membentuk pemimpin akan datang yang mengalir al-Quran di dalam dirinya. Uniknya Raudhatul Huffaz ialah anak-anak akan menulis al-Quran mereka sendiri.
10. Inisiatif kedua yang berjaya dihasilkan ialah Projek Tuisyen Ummah (PRO-Tu). PRO-Tu adalah ‘Projek Tuisyen Sains dan Matematik’ untuk pelajar-pelajar sekolah menengah rendah yang dapat memberi nilai tambah pembelajaran melalui pembangunan jati diri Muslim sejati. Saya dan rakan-rakan jadikan ia istimewa dengan menyediakan tenaga pengajar yang terlatih, belajar dalam kumpulan kecil 5-7 orang, modul yang eksklusif, sesi pembelajaran santai dengan menggunakan ‘whiteboard’ kecil dan konsep mentor mentee. Apa yang menarik, dalam pembelajaran selama 3 jam 2 kali seminggu ini ada sesi rehat selama 10 minit yang akan terisi dengan penanaman fikrah yang jelas, pengenalan tokoh-tokoh Islam serta penciptaan ‘fun moments’ dengan tenaga pengajar. Apabila bonding tercipta antara anak-anak dengan tenaga pengajar, insyaAllah mudah untuk mentor menerapkan nilai-nilai mulia dan membentuk anak-anak tersebut menjadi insan gemilang. Anak-anak lelaki yang biasanya jemu ke sekolah dan malas membuat latih tubi akan mendapati pendekatan ini menarik dan berusaha untuk mencapai kejayaan cemerlang di dalam peperiksaan.
Projek Tuisyen Ummah bukan sekadar tuisyen biasa. Anak-anak juga diajar mengaitkan Matematik dan Sains dari sudut Islam contohnya seperti dalam surah Al-Fathir ayat 27:
أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَخْرَجْنَا بِهِ ثَمَرَاتٍ مُخْتَلِفًا أَلْوَانُهَا وَمِنَ الْجِبَالِ جُدَدٌ بِيضٌ وَحُمْرٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهَا وَغَرَابِيبُ سُودٌ
“Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada (pula) yang hitam pekat.”
11. Pada musim cuti sekolah kami gabungkan kedua-dua Kelas Raudhatul Huffaz (RH) dan Projek Tuisyen Ummah (PRO-Tu) dalam satu program unik yang dinamakan ‘Kem i-Backyard Science Huffaz’ di mana anak-anak dibawa meneroka eksperimen luar yang mendedahkan mereka kepada pemahaman Islam daripada sudut Sains. Objektifnya adalah agar anak-anak tadabbur alam dan memahami Rububiah Allah melalui pemerhatian flora dan fauna, menerapkan rasa minat terhadap Sains melalui eksperimen-eksperimen mudah dan memupuk rasa bersyukur pada Allah dengan anugerah alam sekitar. Anak-anak juga berpeluang mengenali tokoh-tokoh saintis Islam yang telah digelapkan oleh sejarah Barat dan jangan terkejut jika anak-anak anda berjaya menyebut dan mengenali nama-nama tokoh Islam seperti Ibn Sina, al-Jazari, al-Khawarizmi dan Ibn-Haytam – pencipta asal kamera.
12. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Terserah kepada ibubapa untuk memilih kelas tuisyen, kelas hafazan dan program cuti sekolah yang terbaik untuk anak-anak. Kadangkala program dengan kos yang mahal tidak semestinya menjanjikan hasil yang baik. Yang murah pula tidak semestinya tidak berkualiti. Apa yang penting ialah ibubapa memilih program-program yang dapat membentuk fikrah, menaikkan jati diri dan merangsang minat belajar di kalangan anak-anak mereka. Pilihan terletak di tangan anda. Di akhir kata, ingin saya ulangi sekali lagi, orang yang paling ideal untuk melahirkan Profesional Huffaz ialah di kalangan ibu-ibu suri rumah atau ibu-ibu bekerjaya dari rumah yang mempunyai masa, perhatian dan fokus terhadap pendidikan anak-anak. TETAPI tidak terkecuali bagi ibu-ibu bekerjaya, ada alternatif yang boleh dicari untuk menggambil alih peranan tersebut agar masih belum terlewat bagi mereka menghasilkan Profesional Huffaz di kalangan anak-anak mereka. Bi Taufiq Wannajah… All the best, Allahu Akbar.


Source:
http://thevocket.com
https://www.facebook.com/oasistraining
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...