"Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan;
aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan;
aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil;
dan aku berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Wednesday, January 7, 2015

Jurnal Kesyukuran 2014


Alhamdulillah untuk permulaan tahun baru masihi 2015. 
Pejam celik, cepat betul masa berlalu meninggalkan kita. Untuk penutup tahun 2014, dalam segala nikmat kesyukuran yang ada, tidak dilupa calit-calit kesedihan sebelum berlabuhnya tirai 2014.

Pak uda ku Arwah Azizan bin Jaafar telah kembali ke rahmatullah pada 17 Disember 2014. Pemergiaannya akibat kanser pakreas sangatlah cepat. Hanya sebulan setelah disahkan kanser tahap 4, dia pergi meninggalkan kami. Waima, sebotol Vivix yang ku berikan padanya juga belum habis diminum. Katil hospital yang ayah sediakan padanya di rumah nenek hanya sempat digunakan semalaman sahaja. 

Walaupun pak uda ku tiada zuriat sendiri, tapi beliau kaya dengan anak murid. Seorang guru yang sangat dekat di hati anak-anak muridnya. Ramai anak murid nya yang datang dari jauh & dekat. Malah, anak murid yang sudah berkahwin juga turut hadir mengiringi perjalanan terakhir beliau. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya tempatkan beliau di kalangan orang-orang soleh.

Seminggu kemudian, pada 24 Disember 2014. Malaysia pula menangis dengan ujian besar dariNya. Bah terbesar melanda negara. Banyak korban jiwa, harta & tempat tinggal. Pada saat ku coretkan catatan ini, 7 Januari 2015, masih ramai lagi mangsa yang masih belum surut lagi air di rumah-rumah mereka. Pasca banjir lebih perit ujiannya.

Sebenarnya ujian 2014 memang banyak tak terungkap. Ujian sebagai amaran dari Nya barangkali. Dengan tragedi penerbangan lepas satu-satu. Saudara seagama diseluruh dunia yang lebih susah lagi ujiannya dari kita. Allahuakbar. Cuma kita sebagai insan biasa, seringkali cuba lari dari mengingat kembali detik-detik pahit dan hanya cuba mencatat yang indah sahaja. 
Adakah setiap nikmat bahagia sahaja yang perlu disyukuri? 
Bukankah ujian juga satu nikmat?

Rasulullah SAW bersabda:  "Sungguh ajaib perihal orang mukmin, sesungguhnya semua urusan mereka adalah kebaikan. Dan keadaan ini tidak ada melainkan kepada orang yang beriman sahaja. Sekiranya beroleh kurniaan dia akan bersyukur, maka jadilah kurniaan itu baik untuknya. Manakala apabila ditimpa musibah, dia bersabar. Maka jadilah musibah itu kebaikan untuknya."  (Riwayat Muslim)




Bagaimana dengan tahun 2015? Apakah ujian yang bakal diberikan untuk kita semua?
Doa saya..Semoga saya, kaum keluarga, zuriat keturunan dan anda pembaca semua diberi pengakhiran yang baik dan sentiasa berada dalam golongan dalam orang-orang yang beriman.
Amin

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...