"Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan;
aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan;
aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil;
dan aku berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Tuesday, September 9, 2014

Petua Menahan Marah Terhadap Anak Kecil Dari Prof Muhaya

Mengawal marah terhadap anak-anak...

Saya sendiri secara personal agak sukar mengawal kemarahan bila bersama anak-anak, terutama ketika meraka bergaduh sesama sendiri. Husban saya jarang berada disisi, selalu dia akan tegur saya bila saya mula naik suara dengan anak-anak. Katanya, macam mana kalau dah tua nanti anak-anak buat perkara yang sama pada saya. Insaf kejap ok...sedih pun yer...tapi encik asben memang sangat bersabar dengan kerenah anak-anak..mungkin juga sebab dia jarang berjumpa dengan mereka. Anak-anak pun pandai 'behave' bila bersama ayah mereka. Saya perhatikan antara rahsia nya ialah melayan sama rata aniq & aqeela. Jadi mereka tidak cemburu dan bergaduh sesama sendiri.

Tetapi suami saya tidak selalu ada dengan kami untuk mengingatkan saya dan meredakan kemarahan saya, saya perlukan 'sesuatu' untuk menahan marah saya. Saya sedang belajar memperbaiki diri saya. Kadang kala saya berjaya menahan marah, tapi kadangkala terlepas juga. Walaupun tidak secara fizikal, tetapi saya kerap rasa bersalah selepas 'terlepas' marah kepada aniq atau aqeela secara verbal.

Disini saya petik satu tips dari Prof Muhaya,

Soalan:

 Saya sukar mengawal perasaan marah pada anak yang masih kecil, baru berumur setahun lebih. Mohon nasihat Prof.

Jawapan:

Wanita, jika ada suami, ada anak, ada sumber ekonomi yang bagus sudah ada syurga di dunia sebenarnya. 

Perhatikan berapa ramai wanita yang belum dapat jodoh, sibuk minta jodoh. Yang belum ada anak, sibuk minta anak. Tetapi bila dah dapat, banyak pula komen nak menjaganya. 

Jadi wanita, tolong ada sifat tawaduk. Tolong jangan rasa diri lebih daripada orang lain. Kita hanya berani marah orang jika kita rasa kita lebih daripada orang lain. Siapa kita untuk merasa begitu? Anak kecil itu, jika meninggal, terus menjadi ahli syurga. 

Saya teringat kata-kata Hasan Al-Basri, “Bila aku pandang orang kafir, aku merasa malu dengannya kerana jika dia mengucapkan kalimah syahadah, akan terhapus segala dosanya. Sedangkan aku memohon doa diampunkan segala dosa tetapi belum tentu lagi doaku dimakbulkan.” Begitu juga pandangannya terhadap anak kecil yang belum berdosa. Oleh itu bayangkan anak itu sebagai ahli syurga, oleh itu jagalah mereka dengan penuh kasih sayang. 

Saya ingin cadangkan pada orang yang suka marah, pakai getah pada tangan dan setiap kali ingin marah, tarik getah itu sebagai peringatan. Ini adalah teknik NLP dan boleh menjadi terapi yang baik untuk mengawal marah. 

Begitu juga jika kita suka mengumpat, tampar pipi sebagai peringatan. Lama-kelamaan kita akan boleh tinggalkan tabiat buruk ini. 

Ada lagi dua kata-kata ulama yang ingin saya kongsi di sini, 
Pertama - “Aku tidak keluar rumah sehinggalah aku merasakan semua orang lebih baik daripada diriku.” 
Kedua: “Aku tidak keluar rumah sehinggalah aku bergantung hanya pada Allah.” 

Bayangkan jika kita hanya bergantung pada Allah dan merasakan semua orang lebih baik daripada kita, kita sudah mencapai kesedaran ketuhanan yang sangat tinggi dan InsyaAllah mendapat syurga dunia dan syurga akhirat. Jadi ibu-ibu jangan marah anak-anak di rumah, mereka itu semuanya ahli syurga.



Saya petik petua ini dari blog ini. Penulis blog mencatat isi yang beliau dapat dari salah satu ceramah Prof Muhaya iaitu Reset Minda Penyabar dalam slot Islam Itu Indah di radio Ikim pada 6 Jun 2012. Kadang-kadang bila saya mendengar ceramah Prof Muhaya di youtube, saya ada buat salinan pada buku nota untuk mudah mengingat. Tetapi tidak dicatat secara maya. Terima kasih yang tidak terhingga kepada blogger berkenaan yang banyak mencatat isi penting pelbagai tazkirah/ceramah.

Semoga bermanfaat kepada ibu-ibu (muda terutamanya). Sama-sama kita perbaiki diri. Insyallah.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...