"Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan;
aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan;
aku berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan bakhil;
dan aku berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia."

Wednesday, April 24, 2013

Catatan Untuk Aqeela

Anakku Nur Aqeela Mayesa..

Rasanya baru semalam ibu melahirkanmu..pengalaman melahirkanmu memang sesuatu yang baru, berbeza dengan abangmu. Akan terpahat di minda ibu selama-lamanya..

Kecil dan genit nya Aqeela tak pernah menyusahkan. Kurang meragam dan tidak pernah bermasalah pada malam hari. Teringat kembali ibu sepanjang tempoh berpantang. Istilah tak tido malam jarang sekali ibu guna. Kau sangat mudah terlena dan jarang terjaga walaupun abang mu merengek bising inginkan susu. Memang sangat-sangat istimewa.

Kau suka tersenyum dan jarang menangis. Hati ibu cukup sayu bila setiap kali lepas mandikan mu, ibu terpaksa membuat physiotherapy terhadap tangan kirimu yang tersangkut sewaktu kau dilahirkan. Suara kecilmu menangis mendayu-dayu akibat sakit diperlakukan begitu. Mujur Hjh.Normala yang mengurut ibu semasa tempoh berpantang cepat membetulkan masalah tangan itu. Cuma terseliuh sedikit katanya.Kau melalui fasa merangkak dengan cepat pada usia mu masuk 8bulan. 11bulan pula sudah berani melangkah. Kau memang anak yang cepat.

Sesungguhnya kau sangat cepat membesar. Boleh dibilang dengan jari bilangan hari kau mendapat rawatan di klinik dalam tempoh setahun ini. Ibu sangat pasti susu ibu yang dapat ibu berikan kepadamu atas izin Nya selama ini telah membina daya tahan penyakit Aqeela menjadi sangat baik.

Kau sangat sayangkan abang mu. Tak mengira ketika, kau akan terkedek-kedek mengekorinya kemana sahaja. Naik tangga, keluar rumah, pusing meja makan, panjat gelongsor, mahupun ketandas. Walaupun seringkali di langgar sama ada tidak atau dengan sengaja oleh abang mu. Kau tak pernah kecil hati. Tetap setia mengagumi abang mu itu. Pernah sekali ibu lihat kau kebil-kebilkan mata sambil tersenyum comel, langsung membuat abang mu ketawa gelihati, dan kau ulang perbuatan mu itu untuk ke sekian kali. Kau yang masih kecil sudah pandai mengambil hati. Subhanallah.

Ayah masih bekerja di laut. Sejak kau dilahirkan sehingga sekarang. Masih mencari kerja lain untuk lebih dekat dan bermain dengan anak-anak. Belum ada rezeki lagi buat masa ini. Ayah adalah superhero pertama bagi mu. Walaupun jarang berjumpa, kau akan pastikan ayah tidak lupa mendampingi mu tanpa gangguan abang aniq dan ibu. Kau akan hadiahkan ayah satu senyuman yang berbeza dari yang biasa ibu dan abang aniq dapat. Ibu selalu lihat itu, sangat mesra, sangat lain. Hubungan yang sangat bahagia.

Syukur kepada Allah atas kesihatan dan kemudahan  menjaga mu.Alhamdulillah hari ini genap setahun kelahiran mu, Cahaya Terbaik Yang Anggun..anugerah terbaik buat kami sekeluarga.

Ibu doakan Aqeela menjadi anak yang solehah, taat kepada perintah Allah dan Rasulullah. Semoga kau menjadi srikandi harapan kami apabila bertemu dengan Maha Pencipta di sana nanti.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...